Stesen Janakuasa Elektrik Jimah East Power Siap 74 Peratus

Stesen Janakuasa Elektrik Jimah East Power Siap 74 Peratus

PORT DICKSON, 13 NOV – Projek pembinaan janakuasa elektrik Jimah East Power telah mencapai status siap 74 peratus dengan menelan kos sebanyak RM12.1 bilion.

Demikian dinyatakan Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB), Tan Sri Leo Moggie dalam ucapannya semasa lawatan kerja Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan di tapak Projek Stesen Janakuasa Elektrik Jimah East Power di Mukim Jimah, Port Dickson.

Projek ini dijangka siap mengikut jadual dan mencapai tarikh operasi komersial pada 15 Jun 2019 bagi Unit 1 dan 15 Disember 2019 bagi Unit 2.

Ia sebuah stesen janakuasa elektrik berasaskan arang batu ketiga milik TNB selepas stesen Manjung 4 dan Manjung 5 yang menggunakan teknologi Ultra Super Critical, menjadikan ia stesen janakuasa elektrik arang batu paling efisien di rantau ini.

Berkapasiti 2×1,000MW, stesen janakuasa elektrik Jimah East Power merupakan stesen janakuasa elektrik terbesar di Negeri Sembilan.

Pembinaan stesen janakuasa ini juga telah mewujudkan pelbagai peluang perniagaan kepada syarikat dan kontraktor tempatan serta peluang pekerjaan.

Menteri Besar ketika bercakap di sidang media berkata, pembinaan stesen janakuasa elektrik ini dapat menjadi pemangkin untuk menarik kedatangan pelabur ke Negeri Sembilan.

“Walaupun dalam keghairahan mahu membangunkan negeri, Kerajaan Negeri sentiasa mementingkan pelaburan berkualiti, tidak memudaratkan masyarakat dan alam sekitar.

“Dengan adanya kemudahan asas seperti elektrik yang stabil dan bekalan air, saya yakin kita mampu menarik pelaburan industri yang berteknologi tinggi dan boleh membayar gaji yang tinggi kepada anak tempatan,” ujarnya.

Menurut Menteri Besar lagi, Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan dan menghulur bantuan yang diperlukan bagi memastikan pembinaan stesen janakuasa elektrik ini dapat disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Mat Ali Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato’ Seri Ir Azman Mohd; Naib Presiden Usaha Niaga Tenaga TNB, Dato’ Nor Azman Mufti dan Pengarah Projek Jimah East Power Sdn Bhd, Mohd Radzi Nasaruddin.