Sukan Rakyat Pupuk Perpaduan dan Semangat Kejiranan

Sukan Rakyat Pupuk Perpaduan dan Semangat Kejiranan

MAMBAU, 17 MAC – Program Sukan Rakyat 2018 anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kelab Tuanku dengan kerjasama Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Kelab Tuanku diharapkan dapat memupuk semangat kejiranan dan perpaduan antara penduduk berbilang kaum dan bangsa.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan
berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Sukan Rakyat 2018 yang diadakan di Padang Taman Kelab Tuanku, hari ini.

Menurut Menteri Besar, perpaduan yang kuat antara rakyat akan menjadi bukti negara dapat dibangunkan untuk menuju ke arah sebuah negara maju.

“Peranan jiran amat penting dalam hidup bermasyarakat kerana ia adalah individu yang paling hampir di saat kita memerlukan pertolongan dengan segera.

“Beri peluang kepada anak cucu kita untuk hidup dalam sebuah negara yang aman damai, ” ujarnya mengakhiri.

Program ini turut menganjurkan pemeriksaan saringan kesihatan oleh Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) kepada penduduk yang hadir.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan, Puan Salasiah Hashim; Pengerusi PDM Taman Kelab Tuanku, Tuan Shaharudin Taib dan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Kelab Tuanku, Tuan Zainudin Yusof.