Surau Perigi Talan Dirasmikan

Surau Perigi Talan Dirasmikan

REMBAU, 09 APRIL – Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan telah menyempurnakan majlis perasmian Surau Perigi Talan yang baharu bertempat di Kampung Bintongan, hari ini.

Surau Perigi Talan Kampung Bintongan ini telah dibina bagi menggantikan surau lama yang telah berusia lebih 60 tahun.

Antara lain, ia dibina di atas faktor ruang surau lama sudah tidak dapat menampung pertambahan jemaah khususnya pada hari perayaan dan ketika pelaksanaan program-program yang dianjurkan di surau ini.

Pembinaan surau baharu yang telah siap sepenuhnya pada November 2017 ini telah menelan belanja sebanyak RM300 ribu menerusi peruntukan MAINS.

Menteri Besar dalam ucapannya melahirkan harapan agar Surau Perigi Talan yang baharu ini dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penduduk kampung untuk mengimarahkan surau dan mengeratkan silaturahim.

Beliau turut menasihatkan agar umat Islam di negara ini mengambil iktibar dari kepincangan yang dialami negara-negara Islam yang lain dan menyeru agar rakyat terus hidup bersatu-padu.

Dalam majlis sama, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal dan anak-anak kariah yang cemerlang dalam pelajaran bagi tahun 2017.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Seri Dr Haji Awaludin Said; Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Haji Ahmad; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Dato’ Haji Selamat Paigo dan Pegawai Daerah Rembau, Tuan Amino Agos Suyub.