Tanggungjawab Bersama Perbetulkan Imej Islam – MB

Tanggungjawab Bersama Perbetulkan Imej Islam – MB

SEREMBAN, 01 DIS – Adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam untuk memperbetulkan imej agama yang dilihat semakin membimbangkan.

Demikian dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan tahun 1439H/2017M di Masjid Negeri, Seremban, malam tadi.

Mengulas lanjut katanya Islam kini dipandang hina dan remeh berikutan tidak ada contoh yang baik untuk ditonjolkan kepada orang lain.

“Sekarang ini Islam begitu hina dan remeh. Orang lain tidak peduli lagi kerana orang Islam tiada contoh yang baik dan tidak dapat menunjukkan kebaikan kepada orang lain.

“Ini kerana orang yang suka bergaduh, orang Islam. Yang suka berbunuhan sesama sendiri dan berperang juga orang Islam,” katanya.

Beliau juga menyeru agar umat Islam memperbetulkan diri dengan menjadi Muslim yang baik dan lengkap, akidah yang bagus dan akhlak yang sempurna.

“Dengan adanya sambutan Maulidur Rasul 1439H pada malam ini, maka terpikul di bahu setiap orang untuk memperbetulkan imej Islam yang menjadi tanggungjawab bersama,” ujarnya.

Dalam majlis ini, Menteri Besar turut menyampaikan anugerah khas yang dibahagikan kepada pelajar yang cemerlang dalam jurusan agama menerusi tiga kategori iaitu Kategori STAM, Kategori Diploma Tahfiz dan Kategori Ijazah Sarjana Muda.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr Haji Awaludin Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Mat Ali Hassan.