Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pendirian itu dengan mengambil kira hakikat bahawa kemakmuran dinikmati negara sekarang atas kebajikan disumbangkan oleh pihak pentadbir.

“Saranan kita (sebenarnya) banyak, tapi kemampuan kerajaan terbatas. Perdana Menteri dengan nasihat pemegang taruh seperti JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) barangkali boleh menentukan mana (perlu) didahulukan dan dikemudiankan.

“Kita sentiasa menaruh harapan, akan apa yang termampu (dilaksanakan) oleh kerajaan. Dah tentu jawapan paling tepat untuk kita katakan adalah kita berterima kasih (kepada mereka).

“(Kerajaan) mendengar saja pun dah cukup baik bagi kita. (Kalau) menimbang, maka lebih baik dari itu. (Apatah lagi) memberi, sudah tentulah kita gembira sebab itu yang terbaik,” katanya selepas menghadiri Wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Demikian reaksi beliau ketika diminta mengulas harapan Cuepacs pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-16 yang dijadualkan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada program berkenaan, penjawat awam bakal mendengar amanat yang disampaikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, beliau menafikan bahawa Cuepacs hanya menunggu musim pilihan raya untuk mengemukakan sebarang permintaan demi kebaikan kakitangan awam.

“Kalau setiap kali pilihan raya baru nak minta, maka kita kena tunggu lima tahun. (Sebaliknya) kita sentiasa menyuarakan pada kerajaan untuk (sebarang) penambahbaikan.

“Perkhidmatan awam ini diisi oleh sumber manusia yang perlukan rumah, makanan, kekeluargaan, kesihatan dan pelbagai lagi.

“Jadi di luar sana jangan (pula) salah tafsir. Kita bukan minta dengan kerajaan, tapi minta dengan majikan sendiri. Kalau majikan mampu, mereka akan beri. Kalau tak, sabar dulu,” katanya.