TH Properties Rangkul Dua Anugerah Hartanah Antarabangsa

TH Properties Rangkul Dua Anugerah Hartanah Antarabangsa

LONDON, 05 DIS – TH Properties Sdn Bhd (TH Properties) mengharumkan nama Malaysia apabila merangkul anugerah Rekaan dan Pembinaan Hotel Baharu Antarabangsa Terbaik dalam majlis Anugerah Hartanah Antarabangsa 2017-2018 yang berlangsung di Hotel The Savoy.

Kejayaan tersebut hadir beberapa jam selepas syarikat hartanah milik penuh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) itu menerima anugerah bagi kategori yang sama bagi peringkat Asia Pasifik, kedua-duanya untuk pembinaan projek Pusat Konvensyen dan Hotel TH di Kuching, Sarawak.

Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Datuk Roszali Othman mewakili syarikat itu menerima kedua-dua anugerah berkenaan dalam satu majlis yang menerima lebih 1,000 penyertaan daripada 300 syarikat dari seluruh dunia mengikut pelbagai kategori.