Tiada Usul PAU 2017 Ditolak – Hishammuddin

Tiada Usul PAU 2017 Ditolak – Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Tiada satu pun usul ditolak oleh Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi UMNO daripada 826 usul yang diterima UMNO Bahagian di seluruh negara pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017.

Demikian kata Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sambil memberitahu 191 usul diterima tanpa bahas manakala 635 usul diterima untuk rujukan kementerian dan agensi kerajaan.

“Ini bermakna apa yang kita bincangkan dalam PAU 2017 nanti datangnya dari akar umbi secara inklusif. Apa yang kita kupas juga mengambil kira pandangan serta pendirian ahli-ahli kita di peringkat bahagian.

“Saya harap perkara ini dapat diterjemahkan sampai ke peringkat bahagian dan akar umbi UMNO di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menunjukkan Buku Usul-usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Usul UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 NOVEMBER 2017

Pada mesyuarat itu juga, Hishammuddin turut melantik pengerusi setiap kluster terdiri daripada Usul Politik, Ekonomi, Agama, Pendidikan, Tadbir Urus Komunikasi & Media, Tadbir Urus Jurucakap PAU2017, Tadbir Urus Usul-Usul Bahagian dan Tadbir Urus Konvensyen PAU 3.0.

Ditanya tentang usul terbanyak diterima pihaknya dalam PAU 2017 kali ini, Hishammuddin berkata, usul politik mendahului kluster lain iaitu 238 usul, diikuti 114 usul pendidikan, 97 usul sosial, 79 usul ekonomi, 40 usul agama, 1 usul pindaan Perlembagaan dan 66 usul lain-lain.

“Antara usul politik yang dibangkitkan ialah sokongan kepada presiden, timbalan presiden, naib presiden, kepimpinan Majlis Tertinggi, perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri Kabinet.

“Ada juga cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang serta sokongan kepada dasar kerajaan (TN5 & PPPM) dan menentang campur tangan pihak luar dalam urusan pentadbiran serta politik negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut menegaskan Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah ‘feel good factor’ kepada UMNO untuk menambah majoriti kemenangan pada PRU14.

“Bajet yang dibentangkan baru-baru ini, kalau itu tidak feel good tak tahu lah, tapi itu hasil perjuangan parti kita, yang membentangkannya pula presiden kita.

“Inilah yang dikupas dan dibentangkan, jangan kita beralih pandang daripada apa yang telah dijayakan, itulah sebenar feel good factor,” ulasnya.

Beliau berkata lagi, isu ancaman keselamatan negara seperti DAESH atau IS akan dibahaskan oleh perwakilan UMNO.

“Apa juga ancaman yang kita hadapi sama ada DAESH mahupun IS, kita perlu bincang dalam perbahasan kita sama ada dalam agama mahupun pendidikan.

“Semua ini merupakan sesuatu yang menyatupadukan serta secara membina dalam dunia yang penuh dengan perpecahan, kebencian dan peperangan.

“Usul ini yang penting ialah suara mereka ini diambil kira dalam usul yang kita gubal dan diambil kira dalam perbahasan semasa perwakilan berucap nanti,” katanya lagi.