Tidak Mustahil BN Kuasai Semula Parlimen Seremban – MB

Tidak Mustahil BN Kuasai Semula Parlimen Seremban – MB

WISMA NEGERI, 03 JAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan yakin Barisan Nasional (BN) akan dapat menguasai semula Parlimen Seremban daripada DAP di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang dengan adanya gerak kerja dan strategi yang baik.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media yang diadakan selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.

“Saya yakin Parlimen Seremban boleh dirampas semula daripada pembangkang dan tidak ada mustahilnya. Itu sebabnya di pihak UMNO sentiasa bekerja kuat untuk memastikan ketiga-tiga DUN yang diwakili UMNO iaitu Ampangan, Sikamat dan Lenggeng menang dengan majoriti yang selesa.

“Gerak kerja yang kuat dan strategi yang betul boleh memungkinkan Seremban berubah tangan. Jangan kata Seremban satu kawasan hitam yang tidak boleh direbut kembali oleh BN kerana berdasarkan sejarah ia sering beralih tangan,” ujarnya.

Pada ketika ini Parlimen Seremban mempunyai enam kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Lenggeng, Nilai, Lobak, Temiang, Sikamat dan Ampangan. Lenggeng dan Ampangan dikuasai UMNO, Sikamat oleh PKR manakala Nilai, Lobak dan Temiang oleh
DAP.

Menurut Menteri Besar lagi, Seremban adalah satu kerusi parlimen yang sentiasa berubah-ubah. Ia pernah dikuasai pembangkang, kemudian diambil alih oleh BN. Kemudian BN kalah dan menang semula.

“Justeru itu tidak ada yang boleh kata ia kawasan hitam atau putih. Ia sebuah kerusi yang boleh direbut dengan satu gerak kerja yang baik untuk menyakinkan rakyat di kawasan Parlimen Seremban dengan satu strategi yang betul,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu katanya, UMNO perlu memainkan peranan kerana dalam enam Dewan Undangan Negeri tersebut, tiga daripadanya diwakili UMNO iaitu Ampangan, Sikamat dn Lenggeng.

Jelasnya, sekiranya UMNO boleh mendapat ketiga-tiga kerusi dengan majoriti yang selesa, Parlimen Seremban boleh dikuasai semula oleh BN tetapi dalam pada itu parti MCA yang bertanding di ketiga-tiga kawasan berkenaan juga perlu bekerja kuat.

Sabtu lepas, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan Ketua Pemuda yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon sebagai calon BN di kerusi Parlimen Seremban pada PRU14.

Loke daripada DAP memenangi kerusi itu pada PRU13 dengan majoriti 12,553 undi menewaskan Datuk Dr Yeow Chai Thiam (kini mendiang) daripada BN dan tiga calon Bebas.

Dalam perkembangan lain, mengulas pertanyaan wartawan mengenai kehadiran parti baharu iaitu Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA) Menteri Besar berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, sesiapa pun boleh menubuhkan parti dan bertanding asalkan berada di landasan yang betul.

Untuk mencapai kemenangan parti perlu bekerja kuat kerana rakyat sudah ada pilihan, mereka akan melihat parti yang boleh diletakkan sebagai harapan untuk masa depan negara.

Bagaimanapun, Menteri Besar merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau menasihatkan pengundi agar membuat penilaian terlebih dahulu semasa pilihan raya.

“Jangan mengundi mengikut emosi kerana soal pilihan raya adalah soal kita menubuhkan negara dan masa depan negeri. Ia bukan main-main macam kita mengundi dalam Akademi Fantasia.

“Soalnya kita membuang undi untuk meletakkan masa depan negara kita. Jadi pertimbangkanlah dan fikirlah baik-baik, sewaras yang mungkin dan seterusnya nilailah parti mana yang harus kita berikan tanggungjawab untuk mentadbir negara dan negeri,” katanya.

Beliau juga meminta agar orang ramai tidak mendengar cakap orang kerana proses pilihan raya di negara ini adalah sangat telus. Malah adalah tidak benar momokan yang mengatakan sejumlah warga asing datang ke Malaysia untuk mengundi BN dan perkara tersebut hanyalah gimik yang mahu membakar perasaan masyarakat.