Setiausaha Kehormat Pafa, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata, penjualan tiket di daerah-daerah kecuali Ipoh, Batu Gajah dan Kampar bagaimanapun hanya terhad kepada 1,000 tiket dewasa dan 100 tiket kanak-kanak.

Beliau berkata, tiket-tiket tersebut juga akan dijual hanya untuk pembelian individu dan terhad kepada lima tiket seorang.

“Penjualan tiket akan bermula pada pukul 10 pagi sehingga 5 petang esok dan kita menjangkakan akan menjual sehingga maksimum 28,000 tiket.

“Penjualan secara dalam talian sudah habis terjual sebanyak 2,000 tiket. Bagaimanapun, kita akan terus menjualnya sehingga menjelang hari perlawanan. Sekiranya tiket-tiket jualan turut habis di daerah-daerah, peminat masih boleh mendapatkannya di Stadium Perak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jualan tiket di daerah-daerah akan bermula esok di Slim River (Stadium Mini Slim River), Manjung (Stadium Padang Astaka Sitiawan), Teluk Intan (Stadium Mini Teluk Intan), Kerian (Stadium Mini Bagan Serai) dan Kuala Kangsar (Dewan Jubli Perak).

Pada hari Jumaat, orang ramai  boleh mendapatkan tiket di daerah Tapah (Stadium Mini Tun Ahmad Sarji), Perak Tengah (Stadium Mini Parit), Taiping (Pejabat Daerah Dan Tanah Larut), Gerik (Stadium Mini Gerik) dan Bagan Datuk (Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Datuk). – UTUSAN