UMNO Kelantan Kemuka Calon Berkaliber

UMNO Kelantan Kemuka Calon Berkaliber

PASIR MAS – UMNO Kelantan akan mengemukan calon-calon berkaliber dan menepati citarasa rakyat bagi mencipta kejayaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Hanafi Mamat berkata, calon-calon yang bakal bertanding kali ini melalui tapisan cukup ketat bagi memastikan mereka memenuhi kriteria sebagaimana ditetapkan oleh parti.

Menurutnya, apa yang mengejutkan ada di antara ketua-ketua bahagian tidak akan menjadi calon pada PRU 14 nanti.

“Perkara tersebut sudah dimaklumkan oleh pucuk pimpinan parti dan mereka (ketua-ketua bahagian) perlu memberikan sokongan penuh kepada calon,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Murah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Penyelaras Pengguna Pasir Mas, Datin Seri Suhanie Deraman; Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun dan Pentadbir Mukim Chetok, Che Shamsuddin Yusoff.

Hanafi memberitahu, senarai nama calon-calon yang bakal bertanding sudah memasuki tapisan ketiga.

Katanya, UMNO Kelantan akan memberikan keadilan kepada semua pemimpin yang layak untuk diangkat sebagai calon.

“Ada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga empat nama calon kita senaraikan dan ada yang lima. Senarai nama ini diangkat untuk mendapat gambaran dari semua agensi yang buat kajian

“Bila kita umumkan calon, mereka ini adalah yang terbaik,” katanya.

Sumber – UTUSAN ONLINE