Veteran UMNO Siap Siaga Bantu Kemenangan BN

Veteran UMNO Siap Siaga Bantu Kemenangan BN

BALING: Veteran UMNO Bahagian Baling bersiap siaga mengerah bakti bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan menubuhkan bilik gerakan pilihan raya di sini.

Bilik gerakan itu bertempat di rumah seorang veteran UMNO, Kasim Jusoh, 68, di pekan Tawar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil.

 Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Baling, Datuk Mohd Zakaria Abd Raof, 76, berkata pembukaan bilik gerakan itu membuktikan semangat juang tinggi veteran parti untuk membantu kemenangan BN di kawasan Parlimen Baling.

Katanya, 25 veteran UMNO di DUN Kuala Ketil dilantik menjadi ahli jawatankuasa (AJK) bilik gerakan itu bagi membantu jentera pilihan raya BN di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, penubuhan bilik gerakan itu juga menunjukkan UMNO Bahagian Baling tidak sesekali meminggirkan ‘orang lama’ seperti dakwaan pihak tertentu yang berkepentingan politik, sebaliknya parti tetap menghargai jasa dan pengorbanan veteran.

“UMNO Bahagian Baling masih memerlukan khidmat bakti dan keupayaan veteran parti, terutama dalam menghadapi PRU kali ini yang suasananya agak mencabar berikutan pelbagai fitnah dan berita palsu tidak berasas dilemparkan terhadap BN, khususnya UMNO.

“Bagi memastikan keberkesanan kempen PRU, setiap AJK bilik gerakan veteran UMNO ini akan dihantar mengikuti kursus, selain mengadakan program motivasi dan kempen perang saraf mulai sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian bilik gerakan itu yang disempurnakan Penyelaras BN kawasan DUN Kuala Ketil, Datuk Mohd Khairul Azhar Abdullah, di sini, semalam.

Majlis dihadiri kira-kira 200 ahli veteran UMNO kawasan pekan Tawar.

Mohd Zakaria berkata, bilik gerakan itu akan beroperasi 24 jam mulai sekarang hingga sepanjang tempoh kempen PRU-14 bagi menyusun program dan strategi memastikan kemenangan calon BN Kuala Ketil yang bertanding nanti.

“Walaupun sudah lanjut usia, saya bersama 2,000 ahli veteran di sini akan turut menggempur kawasan lawan supaya pengundi tidak terjebak dengan taktik kotor pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairul Azhar berkata, penubuhan bilik gerakan veteran UMNO di pekan Tawar diharap dapat membantu mempengaruhi 33,480 pengundi di DUN Kuala Ketil untuk menjadikan calon BN bertanding di kawasan itu, pilihan mereka.

“Bilik gerakan veteran UMNO ini akan dilengkapi pelbagai kemudahan serba canggih, termasuk sistem komunikasi, pengangkutan dan sistem pengesan maklumat palsu untuk melicinkan perjalanan kempen, selain menjaga keselamatan petugas barisan hadapan.

“Semua ahli veteran UMNO Bahagian Baling diharap bekerja keras dan mengeratkan kerjasama antara satu sama lain kerana cara itu dapat menangkis tindakan pembangkang yang sudah tentu berusaha untuk menang pada PRU nanti,” katanya.

Sumber : Berita Harian